Perlindungan Data Peribadi

Ramai yang merungut dan rasa runsing dengan panggilan telefon bertubi-tubi dari syarikat jualan, insurans dan sebagainya.  Sehingga pada suatu tahap deringan telefon perlu diselidiki terlebih dahulu apabila tidak muncul nama pada panggilan tersebut.  Kebanyakan pemanggil mengenali nama dan juga beberapa maklumat peribadi dan ada kadang kala sehingga mengetahui maklumat-maklumat penting seperti maklumat kad kredit kebiasaannya.  Bagi saya sendiri biasa menghadapi panggila dari kononnya dari bank hendak memastikan kad kredit telah sampai kepada empunya.  Tetapi terbongkar apabila pemanggil meminta menyatakan nombor CV kad tersebut yang diberitahu sebagai nombor pendaftaran.

Oleh itu adakah akta yang melindungi maklumat kita sebagai pengguna.  Pengurus data adalah tertakluk kepada perlindungan data peribadi.  Mereka yang terlibat perlu jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.  Pada masa kini di zaman perlombongan data dan data besar (Big Data) pangkalan data menjadi sangat berharga bagi peniaga dan syarikat kormesial tidak kira kecil atau besar.  Satu pangkalan data boleh beharga ratus ribu.  Jika anda mempunyai fan page facebook dan mempunyai ribuan pengikut anda juga boleh menjual fan page anda kepada orang lain.  Ini bermaksud data adalah sangat penting.  Dengan data pelbagai perkara yang baik dan tidak baik boleh dilakukan.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan pada 16 Mei 2011 selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-undang berkaitan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) iaitu Akta 709.  Di bawah akta ini keselamatan data peribadi pengguna perlu dilindungi bagi mencegah sebarang bentuk penyalahgunaan terhadap penyimpanan atau pemprosesan data peribadi individu, awam dan swasta di Malaysia secara transaksi komersial.

Pengendali data diperingkat jabatan kerajaan mempunyai pelbagai maklumat peribadi, perkhidmatan dan tempat tinggal yang boleh dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.  Data yang sebesar ini menjadi sasaran golongan tertentu bagi memperoleh keuntungan segera.  Oleh itu pengumpulan dan pengurusan data perlu dilakukan secara tersusun, sistematik dan selamat.  Individu yang terlibat dalam mengurus dan mengendalikan data perlu mempunyai etika kerja yang tinggi dalam melaksanakan tugas kerana data-data yang diuruskan adalah berstatus sulit.  Memanipulasi data dengan tujuan tidak baik adalah satu jenayah dan berkait rapat dengan integriti.

Tujuh prinsip data perlindungan peribadi yang perlu diketahui oleh kita semua.

  1. Prinsip Am
    seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya.
  2. Mematuhi Prinsip Notis dan Pilihan
    Makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan.
  3. Prinsip Penzahiran
    Memaklumkan tujuan data peribadi seseorang subjek itu diambil demi mengenal pasti maksud bagi data peribadi itu hendak dizahirkan.
  4.  Prinsip Keselamatan
    Apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, pemproses data perlu memastikan langkah keselamatan supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.
  5.  Prinsip Penyimpanan
    Sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan.
  6.  Prinsip Integriti Data
    Setiap data peribadi perlu dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses.
  7.  Prinsip Akses
    Seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna/pemproses data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.

    Jika anda rasa data peribadi anda disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu, layari pautan https://daftar.pdp.gov.my/ untuk aduan.

Rujukan:

  1. My Goverment (Akta Data Peribadi).
  2. Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
  3. Jabatan Perlindungan Data Peribadi
Advertisement